6 Lokasi Terbaik Kafe Buku Sesuai Buat Pencinta Buku di Selangor



"Seorang pembaca hidup seribu nyawa sebelum dia meninggalkan dunia ini ... Lelaki yang tidak pernah membaca pula hidup hanya sekali" - George R.R. Martin


Ungkapan diatas jelas menyatakan betapa hebatnya impak membaca dalam kehidupan seseorang kerana dengan membaca, ianya dapat memberikan pengetahuan dan pengalaman yang sangat luas. Benar, membaca boleh dilakukan dimana jua seperti semasa sedang menunggu bas atau di dalam kereta api hendak ke kerja, tetapi alangkah indah jika membaca dapat dilakukan di tempat yang mempunyai suasana yang sempurna dan selesa serta menyajikan makanan dan minuman yang sungguh lazat! Jika anda seorang ulat buku yang sudah bosan membaca dirumah, apa lagi yang anda nantikan. Kami telah menyenaraikan 5 kafe buku terbaik untuk anda boleh berehat sambil membaca di Selangor!

 

1)       Kamilah’s Lifestyle & Book Café

Sumber: universalrestaurant77.blogspot

 

Bagi pembaca yang ingin mencari suasana yang selesa dan mesra alam, kafe ini sesuai untuk anda! Dinding yang berwarna biru yang menenangkan dengan hiasan perabot antik pasti akan menjadikan anda merasa cukup selesa untuk membaca sambil menghirup secawan kopi. Terletak di Subang Jaya, kafe ini menyajikan masakan Malaysia dan Barat serta pastri dengan harga yang berpatutan. Selain itu, terdapat banyak buku yang boleh dibaca dari pelbagai genre seperti romantic, misteri dan seram. Kebanyakan bukunya adalah dalam bahasa Inggeris. Kafe ini dibuka dari jam 10.30 pagi hingga 6.30 petang dan ditutup pada hari Ahad.

 



2)       Me Time Book Café

Sumber: booking.com

 

Terdapat banyak kafe buku di Malaysia tetapi apa yang membuatkan Me Time Book Café berbeza adalah kafe ini menyediakan pod tidur di mana anda boleh membaca sambil berehat. Terletak di Petaling Jaya, kafe ini memberikan privasi kepada setiap pembaca untuk menikmati masa bacaan mereka dengan senyap dan damai. Pembaca manga pasti akan jatuh cinta dengan kafe ini kerana kafe ini di inspirasikan dan mengadaptasi konsep kafe manga terkenal di Jepun. Pilihan buku yang anda boleh baca di kafe buku ini adalah sudah tentu buku komik manga, dan juga buku-buku yang pelbagai genre dalam bahasa Cina dan Inggeris. Bagi mereka yang ingin mencuba kafe ini, anda hanya perlu membayar RM5 bagi dua jam pertama dan terus dapatkan secawan kopi atau teh secara percuma! Anda juga boleh daftar sebagai ahli untuk yuran yang lebih murah dan ia membolehkan anda membaca buku di sini pada bila-bila masa yang anda mahu kerana kafe dibuka setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 12 pagi.

 

 


3)       Book Barter Café

Sumber: Eat Drink KL

 

Bukankah membaca buku dan menikmati kelazatan kek di kawasan mengelilingi alam semulajadi yang indah suatu kombo yang menarik! Kafe buku bertema hutan di Cyberjaya ini pasti akan menyediakan suasana yang aman untuk sesi membaca anda. Pembaca dapat membaca dan menikmati pelbagai pastri, kuih dan kopi yang lazat. Apa yang menarik tentang kafe buku ini adalah bahawa para pelanggan boleh menukar buku secara percuma dari rak-rak yang disediakan. Pelanggan dialu-alukan untuk menderma buku terpakai di kafe ini! Kebanyakan buku disini adalah bergenre fiksyen Bahasa Inggeris. Kafe ini dibuka setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 9 malam.


 


4)       Bukku Café

Sumber: The Nat Channel

 

Kafe buku gaya Eropah di Klang ini mempunyai estetika tersendiri dan layak di masukkan ke Instagram. Kafe buku ini adalah tempat yang sangat menarik untuk bersantai dan membaca! Suasananya juga sesuai untuk melakukan kerja dan tugasan. Kafe buku dua tingkat dengan tempat duduk di luar bangunan ini menyajikan pelbagai jenis pencuci mulut dan pastri. Walau bagaimanapun, ramai pelanggan datang ke sini untuk dua menu istimewa mereka yang terkenal iaitu Salted Egg Yolk dan Green Tea Croissant. Pelanggan boleh membaca pelbagai buku yang disediakan di rak-rak kafe buku ini dan juga boleh menderma buku di tingkat pertama. Kafe buku ini ditutup pada hari Ahad.

 

 

 

5)       The Little Giraffe Book Club

Sumber: Eat Drink KL

 

Kafe buku ini adalah sebuah kafe yang terletak di dalam perpustakaan komuniti di Cheras. Dekorasi rumah gaya kampung memberikannya suasana desa dengan daya tarikan estetik yang tersendiri. Orang ramai sering melawat tempat ini kerana terdapat banyak buku untuk dibaca. Persekitarannya yang aman pasti akan memberi anda motivasi untuk membaca. Anda juga bebas untuk mengambil dan menderma buku-buku di depan kafe ini. Kafe ini juga mempunyai menu sarapan pagi sepanjang hari dan pencuci mulut. Kebanyakan pelanggan tetap datang ke sini untuk Rojak dan Taufu Bakarnya. Oleh kerana kafe buku ini terletak di kawasan perumahan, tempat letak kereta adalah terhad. The Little Giraffe Book Club ini ditutup pada hari Isnin dan Selasa.

 

 


6) BookXcess’s Madeleine Café @ Starling Mall

Sumber: SAYS

 

Terletak dibeberapa buah negeri di Malaysia, BookXcess sememangnya sangat menarik dan mempunyai reka bentuk yang tersendiri. Cawangan BookXcess di Starling Mall, Petaling Jaya mempunyai keluasan yang besar dan mempunyai akses kepada kedai makan kafe Madeleine, selesa untuk berehat dan bersantai sambil membaca. Buku untuk dibaca boleh didapatkan secara percuma disini dan buku yang dijual juga boleh didapatkan dengan harga yang sangat berpatutan. Selain itu, hiasan dalaman BookXcess ini begitu cantik untuk dimuat naik ke Instagram anda! Jadi jangan lupa untuk mengambil gambar semasa anda disana. Kafe ini dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga ke 10 malam.


Terdapat banyak kafe buku yang menarik di Selangor yang anda boleh berehat sambil membaca, 

senarai di atas ini adalah pilihan utama kami. 


Setiap kafe buku yang tersenarai mempunyai 

keistimewaannya yang tersendiri. 


Jadi kepada semua yang minat membaca, jangan tunggu lagi, kafe-kafe buku ini menanti anda!

 


Untuk informasi lanjut, 

layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di Selangor.Travel



Tentang Tourism Selangor

Tourism Selangor adalah cabang pelancongan Kerajaan Negeri yang ditubuhkan untuk meningkatkan bilangan pelancong tempatan dan antarabangsa ke Negeri Selangor dengan membangunkan keindahan dan keunikan tersendiri Negeri. Banyak inisiatif telah diambil untuk mencapai matlamat ini seperti menganjurkan kempen di peringkat domestik dan antarabangsa, mengadakan misi perdagangan pelancongan yang dilakukan di luar negara, melancarkan misi jelajah dan kembara, dan banyak lagi.


Post a Comment

0 Comments